04 October 2010

Hukum menerima wang sumber tidak jelas

Zaharuddin Abd Rahman

Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya. Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan, nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat. Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan, rumah urut ‘pelacuran' dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.

DARI SUDUT HUKUM

Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, tindakan mereka adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.

Fakta berikut perlu difahami:

1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang (dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.

Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.

Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.

2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.

Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjakannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi'. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.

3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.

Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam (Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225)

PANDANGAN ULAMA MAZHAB

Ulama hanafi menyebut yang ertinya: Pemilikan kotor (haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) (Al-Ikhtiyar Li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61)

Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. (rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)

Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata yang ertinya "sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir (dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka." (Al-Majmu' , 9/428)

Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain yang ertinya: "Menjawab kata-kata orang yang berkata : "Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita". Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara' yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan." (Ihya Ulumiddin, 2/212)

Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata yang ertinya : "Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa' sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). (Fatawa Mu'asiroh, 1/606)

RINGKASAN DALIL

Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-

1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda yang ertiya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]

3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

KESIMPULAN

* Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka (pemberi sumbangan) itu bercampur antara wang halal dan haram. atau dalam kata lainnya, harta mereka masih ada yang neutral dan halal.

* Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.

* Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini.

* Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara'. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.

* Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.

* Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.

-----------------------------------------------
Daripada www.zaharuddin.net

20 September 2010

Rasai Keperitan Rakyat: Najib Cakap, Pemimpin PR Buat

Parti Islam Se-Malaysia PAS menganggap ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, supaya pemimpin perlu merasai derita rakyat hanya retorik sahaja, kerana ia menyimpang daripada tindakan. Realiti yang berlaku pada hari ini pemimpin negara yang memerintah 57 tahun setelah merdeka bukan memikirkan supaya rakyat miskin terbela dan kualiti hidup ditingkatkan. Bahkan kemiskinan dan penderitaan rakyat ini telah menjadi umpan untuk memancing undi setiap kali pilihanraya.

Nampaknya apabila selepas rakyat Malaysia mengajar pemimpin Barisan Nasional dalam pilihanraya 2008 baru mereka tahu tanggungjawab pemimpin mesti menyelami penderitaan rakyat. Sebelum ini mereka tidak pernah menyebut hal ini kerana mereka anggap apa sahaja mereka buat rakyat tetap undi mereka. Semalam Datuk Seri Khir Toyo bekas Menteri Besar Selangor juga bercakap lebih kurang bahasa yang sama. Beliau mengingatkan kepada kerajaan supaya mengambil tahu penderitaan rakyat. Bimbang rakyat sudah merungut kos hidup semakin tinggi, beliau pun terasa dengan kenaikan harga beras RM18 ke RM25 sekampit.

Sedangkan PAS bersama dengan Pakatan Rakyat daripada awal lagi sudah memikirkan bagaimana untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Kerana menyedari bahawa menjadi pemimpin bukan untuk bermegah, tetapi satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Buktinya PAS dan Pakatan Rakyat di Kelantan begitu prihatin dengan penderitaan rakyat telah melaksanakan program kifalah untuk warga emas yang meninggal dunia. Program ladang rakyat untuk diberikan deviden kepada mereka yang susah. Begitu juga di Kedah dan Pulau Pinang melaksanakan program yang mengambil kira penderitaan rakyat. Selangor negeri yang kaya dengan hasil ekonominya yang melimpah ruah telah memberi air percuma kepada semua rakyat dan merakyatkan limpahan ekonomi kepada mereka yang susah. Program yang tidak pernah terfikir oleh pemimpin BN walaupun selepas negara mencapai kemerdekaan selama 53 tahun. Pada hal kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat yang mempunyai sumber kewangan yang terhad, tetapi mampu menyelami derita rakyat.

Sepatutnya pemimpin BN sudah boleh menyelami dan menyelasaikan masalah rakyat kalau mereka mahu. Sedangkan banyak program yang boleh mengangkat taraf hidup rakyat, telah dikhianati. Saham untuk kaum bumiputera sebanyak RM52 bilion lesap, sepatutnya Perkasa tidak perlu menjerit lagi mengenai pencapaian 30% ekuiti bumiputera, kalau pemimpin BN tidak khianat.

Agensi untuk bela penderitaan rakyat susah juga dikhianati seperti Felda. Wang Felda telah susut sebanyak RM2.75 bilion dalam masa 5 tahun. Pada tahun 2004 wang Felda ada RM4.08 bilion telah mengucup kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009. Kita pun tidak tahu macam mana kos tanam semula di Felda lebih tinggi berbanding dengan ladang lain di negara ini. Sebagai contoh kos penanaman semula di Felda RM10,503 sehektar berbanding dengan ladang IOI hanya RM1,988 sehektar dan ladang Sime Darby pula Rm3,120 sehektar. Wang Felda yang sepatutnya di manfaatkan dengan lebih baik untuk peneroka dan anak-anak peneroka telah digunakan antaranya mendirikan bangunan di tengah-tengah badaraya Kuala Lumpur RM662 juta. Menggunakan wang Felda untuk projek basmi kemiskinan di Sabah sebanyak RM253 juta. Sedangkan Felda banyak di Pahang, Johor, Perak dan Terengganu, kenapa pula Sabah sahaja yang dapat manfaat. Kemana pula hasil minyak dan balak di Sabah, sehingga terpaksa mengemis dengan Felda. Tepuk dada, kocak pokok kelapa sawit.

Sebelumnya wang PPRT lesap RM32 juta, kalau wang untuk orang susah pun dikebas begitu sahaja, apa hendak diharap untuk menjaga kepentingan rakyat marhain di negara ini.Kalau pemimpin memahami derita rakyat maka tidak akan mencari jalan mudah untuk dapatkan wang dengan menaikkan harga minyak, tepung, gula, menghapuskan subsidi, mengenakan saman ekor dan GST. Sebenarnya apabila kapal hendak karam baru pemimpin sedar siapakah diri mereka.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

15 September 2010

Isu Pembunuhan Jutawan Kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya

oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat
Wednesday, 15 September 2010 at 13:03


1. Saya mengucapkan takizah kepada keluarga Allahyarham Datuk Sosialawati Lawiya, jutawan kosmetik yang telah dibunuh dengan kejam bersama pemandu, pegawai bank dan peguamnya. Dari jauh, saya harapkan supaya keluarga mereka semua dapat bersabar dengan ujian Allah SWT ini ditambah pula ia berlaku pada saat umat Islam sedang bersedia menyambut Hari Raya Idulfitiri.

2. Sesungguhnya, tidak ada sesiapa yang boleh menerima perbuatan seorang manusia boleh membunuh orang lain kerana nyawa seorang manusia itu tidak dimiliki oleh sesiapa pun hatta dirinya sendiri. Justeru, Islam melarang membunuh diri kerana nyawa bukan milik manusia. Perbuatan sekejam ini berpunca daripada tidak wujudnya rasa malu dan aib di hati pembunuh. Sedangkan perasaan malu dan aib inilah yang merupakan jentera keselamatan yang boleh mengawal diri manusia daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan mudharat samada kepada diri atau orang lain. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu kehendaki” – hadis riwayat Imam Bukhari.

3. Selain itu, saya menggesa kepada pihak pimpinan negara untuk sentiasa menghebahkan peringatan agar rakyat bertaqwa dan gerun kepada Allah SWT. Perlu diingatkan sentiasa agar rakyat merasa gerun dengan azab kubur dan siksa api neraka. Tanpa peringatan-peringatan seperti ini, tidak ada penghalang yang boleh mendinding manusia dari melakukan jenayah. Hasilnya, kita mendengar kes-kes pembunuhan kejam berlaku sepanjang masa tanpa mengira bangsa dan agama.

4. Sayang sekali apabila tugas memperingatkan manusia agar bertaqwa kepada Allah SWT ini hanya diserahkan kepada imam dan lebai sahaja. Seolah-olah persoalan iman dan taqwa ini hanya boleh disebut di mimbar masjid. Inilah benih yang dituai oleh sekular sekian lama dan kini menampakkan hasilnya. Masyarakat diulit dengan demokrasi yang tidak pernah menyebut persoalan iman di dalam sukatan pengajiannya. Apabila iman tidak diperkenalkan, lahirlah generasi kepimpinan yang langsung tidak pernah tertarik untuk mengajak rakyat untuk beriman. Natijahnya, terbentuklah suasana yang kita saksikan pada hari ini.

5. Jauh berbeza dengan Rasulullah SAW sebagai Perdana Menteri pertama negara Islam Madinah. Baginda mengulang sebut peringatan agar beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT di dalam setiap ucapannya kepada rakyat. Iman selaku kembar siam kepada Islam itulah penghalang yang paling teguh daripada melakukan jenayah. Pemimpin negara ini adalah orang Islam, justeru individu yang sangat perlu dicontohi ketika memimpin ialah Rasulullah SAW.

6. Saya yakin, jika inilah yang dititikberatkan oleh kepimpinan negara, insya-allah akan berputik rasa gerun dan takut kepada Allah SWT di hati rakyat. Bukan gerun dan takut kepada undang-undang yang dibuat oleh manusia sahaja. Keberkatan dan pencegahan yang datangnya daripada Allah SWT inilah yang akan menjamin kesejahteraan manusia tidak mengira agama apa yang dianuti.

Salam takziah dari saya.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

6 Syawwal 1431H / 15 September 2010
Pejabat Menteri Besar Kelantan.

02 September 2010

PROGRAM KEMASYARAKATAN IHYA' RAMADHAN DEWAN MUSLIMAT PAS SHAH ALAM

Sudah menjadi lumrah bagi Dewan Muslimat PAS Shah Alam (DMPSA) menghidupkan Ramadhan (Ihya' Ramadhan) melakukan amal kebajikan dan menghargai golongan kurang upaya dan bernasib baik. Setiap tahun di bulan yang mulia, DMPSA menganjurkan majlis ini bagi meraikan golongan kurang berkemampuan agar mereka juga dapat merasai nikmat kurniaan Allah terutama ketika menjelang tiba Hari Lebaran.

Program Kemasyarakatan  Ihya' Ramadhan kali ini telah diadakan pada 31 Ogos 2010 baru-baru ini di Dewan MBSA Seksyen 17. Majlis ini diadakan bagi meraikan golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim. Seramai hampir 300 orang yang diraikan hadir setelah dikenalpasti melalaui cawangan diseluruh Parlimen Shah Alam. Mereka menerima sumbangan berupa duit raya dan keperluan harian. Dana sumbangan diperolehi daripada ahli dan pendokong PAS serta masyarakat setempat yang menyokong aktiviti DMPSA ini.

Majlis telah dirasmikan oleh YB Khalid Samad, YDP PAS Shah Alam merangkap Ahli Parlimen Shah Alam. Dalam majlis itu juga penerima sumbangan turut disajikan dengan tazkirah berkenaan penghayatan Ramadhan oleh Us Azmi Suhaili Sehat.

Sumbangan-sumbangan telah disampaikan oleh YB Khalid Samad dan isteri serta Pn Zarina - Ketua DMPSA.

Jazakumullahu khair kepada semua penyumbang dan petugas Ihya' Ramadhan DMPSA.

29 August 2010

Tidak faham agama punca polemik- Nik Aziz

Rizal Tahir

KOTA BHARU, 29 Ogos: Isu bukan Islam memasuki masjid bukan satu kesalahan dalam Islam kerana ianya antara kaedah yang diguna Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan mesej dakwah.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, isu ini menjadi polemik dalam masyarakat akibat sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni.

“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah.

“Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid”, katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu, yang kini hangat diperkatakan.

“Jadi bila ada orang bukan Islam sekarang ni masuk dalam masjid, tak ada apa pun. Nak ceramah ke, nak apa ke, tak ada masalah apa pun,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, tindakan mempolemikkan isu tersebut juga bukan sahaja akan menjauhkan orang bukan Islam kepada Islam, malah bertentangan dengan sunnah Nabi.

“Menjauhkan orang bukan Islam dengan masjid adalah budaya kita sahaja, bukan ajaran nabi,” ujarnya.

Dalam Islam menurutnya, Muaalaf ditafsir dengan tiga golongan iaitu mereka yang baru memeluk Islam, belum Islam tetapi cenderung memeluk Islam dan orang bukan Islam tetapi menghormati dan tidak menentang Islam.

“Jadinya dalam tiga ini hanya satu sahaja yang kita guna. Dua lagi kita biarkan menyebabkan masyarakat kita semakin jauh dengan yang bukan Islam,” ujarnya.

Menyentuh mengenai tidak menutup aurat ketika memasuki masjid, Tuan Guru berkata, mungkin masalah penjaga masjid tidak memberitahu kepadanya.

Tuan Guru berkata demikian sewaktu majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan media anjuran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), di rumah anak yatim Taman Sabariah.

Seramai lebih 170 orang anak yatim menerima sumbang wang hari raya dari PMBK.

Dipetik dari harakahdaily.com

24 August 2010

Khatib tidak keseorangan - Mahfuz

Oleh: Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, khatib yang dikaitkan dengan doa supaya Lim Guan Eng diberikan hidayah tidak keseorangan dalam menghadapi siasatan apa yang disifatkan sebagai ‘undang-undang baru Umno’.

Sehubungan itu, beliau meminta polis menyiasat sama majlis solat hajat dan bacaan Surah Yaasin di Masjid Jamek Al-Rahimah, Kuala Kubu Bharu bagi kemenangan P Kamalanathan dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor dahulu.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mahu polis dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang membuat siasatan sepenuhnya berhubung dakwaan penggunaan nama (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah Jumaat.

"Oleh kerana Umno histeria sangat apabila doa untuk Guan Eng dibacakan dalam khutbah, polis dengan pantasnya menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat pembacaan doa itu.

"Kalau baca doa untuk Guan Eng dalam masjid menjadi satu kesalahan di sisi Najib sehingga polis menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat, sepatutnya polis menyiasat sama majlis solat hajat dan bacaan Surah Yaasin di Masjid Jamek Al-Rahimah, Kuala Kubu Bharu bagi kemenangan Kamalanathan," kata beliau yang menyifatkan histeria Umno itu semata-mata berpunca dari ketandusan modal politik dan tidak ada kena mengena dengan Islam.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan, sejak bilakah Najib dan Umno membuat undang-undang yang meletakkan usaha mendoakan mana-mana orang bukan Islam diberikan hidayah memeluk agama Islam sebagai satu kesalahan?

"Apa yang dilakukan hanyalah memohon doa agar Guan Eng diberikan hidayah dan tidak ada kena mengena dengan fitnah dan pembohongan Umno kononnya nama Guan Eng menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong (Tuanku Mizan Zainal Abidin).

"Adakah Umno sudah mengada-adakan undang-undang baru menggantikan undang-undang Allah sehingga usaha mendoakan mana-mana orang bukan Islam diberikan hidayah memeluk agama Islam menjadi satu kesalahan di dalam undang-undang baru Umno itu?" Mahfuz mempersoalkan.

Bagi beliau, adalah sesuatu yang natural bagi mana-mana orang Islam untuk mengharapkan orang-orang bukan Islam memeluk agama Islam.

"Mengharap dan berdoa sepatutnya tidak menjadi satu kesalahan kerana ia bukan paksaan. Soal sama ada orang yang didoakan hendak memeluk Islam atau tidak, itu hak dia.

"Tetapi nampaknya Umno meletakkan usaha itu sebagai satu kesalahan. Nampaknya yang dihalalkan oleh Allah sudah menjadi haram di sisi Umno," kata Mahfuz.

Khatib yang menjadi mangsa ‘undang-undang baru Umno’ itu, Ustaz Zakaria Ahmad dilaporkan mengakui ada melafazkan doa untuk Guan Eng tetapi menegaskan tidak pernah mendoakan keselamatannya sebaliknya memohon supaya Guan Eng diberikan hidayah memeluk agama Islam.

Beliau memberitahu, pihak polis telah menghubunginya dan memintanya hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes berkenaan.

Zakaria berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama memberi keterangan kepada polis kerana percaya tidak ada apa yang perlu disembunyikan.

Dipetik dari harakahdaily.net

19 August 2010

Awas Operasi Lalang Edisi 1 Malaysia

Parti Islam Se-Malaysia PAS bimbang suasana politik negara pada hari ini yang semakin panas. Keadaan ini berlaku selepas PRU 2008, apabila BN tidak tahu menghormati keputusan rakyat dalam sebuah negara demokrasi. Kes yang terbaru lakonan rasa tidak puas hati Presiden MCA Datuk Sri Dr Chua Soi Lek mengenai kouta 30% dalam ekuiti bumiputera. Datuk Chua telah mengambil pendirian yang berani untuk menyokong kongres Cina yang mencadangkan kerajaan menghapuskan kouta 30%.

Kenyataan beliau telah menimbulkan kemarahan secara terbuka oleh Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Timbalan Presiden Umno. Pendirian beliau dipanaskan lagi dengan sokongan beberapa pemimpin Umno dan NGO Melayu. Beberapa kenyataan amaran dan memperlekeh satu sama lain sedang bermain di dada akhbar.

PAS bimbang corak yang sama berlaku pada tahun 1987, ketika Umno mengalami perpecahan team A dan team B, sehingga Umno diharamkan oleh mahkamah. Tiba-tiba Lee Kim Sai Timbalan Presiden MCA telah mangatakan bahawa orang Melayu juga kaum pendatang dan hak keistimewaan bumiputera juga dipertikaikan. Pada ketika itu pemimpin Umno yang berlagak macam hero kampung dusun berhimpun untuk membantah kenyataan Lee Kim Sai. Ada di kalangan pimpinan umno suruh bawa pisau senang hendak kupas limau jika hadir di perhimpunan di stadium TPCA Kampung Baru. Akhirnya himpunan tersebut telah dibatalkan oleh pihak keselamatan.

Kemudian operasi lalang berlaku, Lee Kim Sai ke Australia, sebaliknya yang menjadi mangsa ialah pemimpin PAS, DAP dan NGO yang disumbat di Kamunting. Ada beberapa pemimpin Umno ditangkap juga, sekadar untuk main wayang kemudian dibebaskan.

PAS mengharapkan pihak kerajaan dan keselamatan jangan mengkambing hitamkan pembangkang, kerana hendak melindungi masalah dalaman parti komponen BN. Jangan gunakan ISA dan operasi lalang, bertarunglah dalam gelanggang demokrasi di atas padang yang sama rata serta pengadil dan tiang gol yang tidak diubah-ubah. Pemimpin Umno kena insaf mereka sekarang bukan sahaja tidak disukai oleh orang bukan Melayu malahan juga telah ditolak oleh orang Melayu, terutama generasi terpelajar dan bermaklumat.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

11 August 2010

Ramadhan: Penyucian diri kembali kepada fitrah

Ramadhan: Penyucian diri kembali kepada fitrah
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ


Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Surah al-Baqarah, ayat 185

Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ


Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

04 August 2010

PAS Sek 16 raikan petugas parti

PAS Cawangan Sek 16 Shah Alam meraikan petugas-petugas parti dalam satu majlis jamuan makan malam yang diadakan disebuah restoran di Shah Alam pada 31 Ogos 2010 lalu. Majlis itu walau sederhana tetapi cukup memberi makna kepada petugas-petugas yang telah mencurahkan tenaga mereka mengendalikan program dan aktiviti kemasyarakatan sepanjang tahun.

Majlis telah dihadiri oleh YDP PAS yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam, YB Hj Khalid Samad. Dalam ucapan alu-aluan beliau mengucapkan setinggi penghargaan di atas kesungguhan petugas PAS Seksyen 16. Beliau juga berharap agar mereka meneruskan komitmen masing-masing dengan mempelbagaikan aktiviti yang boleh meraih sokongan masyarakat setempat agar terus memberi kepercayaan kepada PAS untuk memimpin mereka. Hj Khalid juga berharap agar pendokong PAS agar tidak tergugat dengan dakyah yang sengaja dimainkan oleh UMNO BN berkenaan dengan isu pasir dan isu air.

Turut hadir dalam majlis tersebut TYDP PAS Shah Alam Hj Azli Yusof dan Bendahari PAS Shah Alam Hj Safwan Zubir. Upacara majlis telah dipengerusikan oleh Setiausaha PAS Sek 16 Saudara Jalaluddin.

28 July 2010

JAMBORI UNIT AMAL SHAH ALAM 2010 MANTAPKAN JATIDIRI REMAJA

Jambori Unit Amal Shah Alam yang berlansung pada 24-25 Julai 2010 baru-baru ini berjaya memikat golongan remaja untuk bersama-sama memantapkan jatidiri agar bersedia menyertai aktiviti-aktiviti amal apabila diperlukan.

Seramai 76 remaja dari seluruh Shah Alam telah bergabung dengan 30 orang aktivis unit amal telah berkampung selama dua hari di kawasan perkhemahan di Janda Baik, Pahang. Mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti lasak dan kerja berpasukan "team building" seperti Amal Race, survival, tarik tali, latihan kawad dan jungle tracking bertujuan untuk membina ketahanan dan keyakinan diri.



Ketua Unit Amal Shah Alam, Muammar Ghaddafi memberitahu bahawa penyertaan dan penglibatan dalam Unit Amal Shah Alam semakin meningkat dari masa ke semasa. Beliau yang pernah menyertai misi amal membantu mangsa tsunami di Acheh dan banjir besar di Segamat berkongsi pengalaman dengan remaja-remaja belasan tahun yang tidak sabar-sabar untuk berbakti dalam misi kebajikan dan kemanusian Unit Amal.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Hj Azli Yusof, Timbalan YDP Pas Shah Alam. Beliau antara lain menyarankan agar remaja melibatkan diri dengan kegiatan yang sihat dan bermanfaat seperti Unit Amal. Menurut beliau, kegiatan Unit Amal bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat yang dibantu, ia juga memberi manfaat kepada diri sendiri kerana berupaya membangkitkan kesedaran bahawa terdapat masyarakat yang mungkin berada dalam keadaan yang lebih susah ketika ditimpa musibah. Beliau berpesan agar peserta jambori mengikhlaskan diri kerana hanya amal yang ikhlas sahaja yang diterima oleh Allah untuk dianugerahkan dengan ganjaran pahala.

19 July 2010

Pakat Masuk PAS Bukan Bersatu Dengan Umno

Parti Islam Se-Malaysia PAS menolak cadangan Tan Sri Harussani yang hendak menjadi perantaraan antara PAS dan Umno demi perpaduan Melayu di negara ini.

PAS bukan angkuh tetapi itulah hakikat yang berlaku pada hari ini, Umno sudah tidak relevan untuk orang Melayu menjadi tempat berteduh. Parti yang pernah disebut oleh Tun Dr Mahathir sebagai parti yang busuk sampai usus. Sepatutya Tun kena nasihat supaya ahli Umno keluar beramai-ramai masuk PAS. Apakah logik PAS diseru untuk bersatu dengan Umno, sedangkan mereka mengalami penyakit yang berjangkit iaitu penyakit barah rasuah dalaman parti, penyakit khianat kepada amanah rakyat, tidak bertanggungjawab kepada hasil mahsul negara, penyakit hanya memikirkan kepentingan perut semata-mata, penyakit tidak peduli kepada rakyat dengan menaikkan harga barang.

Apa perlu PAS diajak bersama dengan Umno semata-mata kerana hendak menghulurkan balang oksigen kepada Umno yang semakin kehilangan sokongan terutama Melayu terpelajar dan Melayu yang celik maklumat. PAS memahami tahap sokongan orang-orang Melayu sudah berubah, maka Umno berdendang dengan irama lama iaitu kuasa Melayu terancam. Apabila sudah nyawa di hujung halqum, baru Umno sedar PAS parti Melayu. Sebelumnya Umno tidak pernah memandang PAS, malah angkuh dengan kuasa untuk menindas sesama bangsa.

PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani sebagai seorang mufti, di antara disiplin mufti kena rujuk Al-Quran, hadis, ijmak dan qias dan mengetahui gambaran masalah yang berbangkit barulah boleh keluarkan fatwa. Barulah fatwa yang dikeluarkan itu dihormati oleh orang ramai. Begitu juga dalam hal politik, sebelum beliau hendak mengeluarkan pandangan biarlah buat kajian dahulu, apakah benar kalau PAS dan Umno tidak bersatu kuasa politik melayu terancam.

PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani tolong lihat dulu keputusan pilihanraya 2008, siapa yang khianat kuasa politik Melayu? PAS atau Umno. Macam mana kuasa Melayu boleh hilang kuasa sebab semua kerusi Melayu, PAS akan lawan Umno, kalau Umno kalah, PAS menang, PAS Melayu juga. Mana sifir kuasa Melayu terancam.

Apakah Tan Seri hanya anggap PAS kuda tungangan DAP dan PKR ketika berkongsi kuasa dalam Pakatan Rakyat. Manakah bukti PAS rugi kepada Melayu dan Islam ketika bersama PR. Tapi PAS boleh buktikan banyak tindakan Umno bersama rakan-rakan BN merugikan agama dan bangsa. Tan Seri lupakah yang menutup surau di Seksyen 8 Shah Alam itu dibuat oleh Umno pimpinan Khir Toyo, lupakah Tan Seri yang halau orang melayu di Kg Berembang dan Kg Plentong Pasir Gudang Johor adalah dibawah Umno. Dato Dr Harun Din, Dato Ismail Kamus, al-Marhum Dato Ishak Baharom diburu macam penjenayah kerana hendak menyampaikan ceramah agama ketika Selangor di bawah Umno. Adakah laporan Lim Guan Eng di Pulau Pinang tutup surau sejak memerintah Pulau Pinang

Hakikat yang berlaku Umno yang serah kerusi majoriti melayu kepada bukan melayu. Contohnya Parlimen Bukit Gantang 2004 Dr Lo lo' PAS lawan Tan Lian Hoe (BN) kemudian tahun 2008 Tan Lian Hoe bertanding di Grik melawan Mohd Noor Abd Rahman Pas, Parlimen Tanjung Malim Mohd Azman Marjohan PKR lawan Ong Ka Chuan (MCA), Dun Pasir Panjang Datuk Seri Haji Nizar Pas lawan Dr S Vasan (MIC). Malah dalam usaha hendak menambah kerusi Melayu bertambah, maka PAS bertanding di kerusi pengundi Melayu kurang daripada 50 peratus di Parlimen Kota Raja yang ditandingi oleh Dr Mariah. Ini adalah sebahagian contoh yang dikhianati oleh parti Umno yang menjadi kekasih Tan Seri Harussani.

PAS menyeru kepada ahli Umno yang ikhlas dan sayangkan agama, bangsa dan negara gunakanlah akal yang Allah berikan untuk buat keputusan supaya keluar Umno dan bersama-sama PAS yang sedang bersama membentuk pemetaan politik baru bersama-sama Pakatan Rakyat.Ingatlah Islam selamat, Melayu selamat, bangsa lain selamat, negara pun selamat. Kalau Melayu selamat belum tentu Islam dan negara akan selamat.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

15 July 2010

NYDP Pas Shah Alam antara muka baru Ahli Majlis MBSA 2010/2011

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mendapat 9 muka baru ahli Majlis bagi sesi 2010/2011. Di antara yang baru dilantik dan selesai menjalani majlis angkat sumpah ialah Naib Yang DiPertua Pas Shah Alam, Sdr Mohd Ismahali Ridzuan Ismail. Majis Angkat Sumpah itu telah disempurnakan pada hari Rabu 14 Julai 2010 jam 2:30 petang.


Sementara itu Timbalan Yang Dipertuan Pas Shah Alam, Hj Azli Yusof telah dilantik semula bagi menyambung perkhidmatan untuk penggal atau tahun yang ketiga.

Gabungan Ahli Majlis kali ini dimantapkan dengan kanggotaan dari parti-parti Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP dan diperkuatkan dengan sebilangan lain dari NGO dan professional. Mereka yang datang dari pelbagai latar belakang seperti Jurutera, doktor, peguam, ahli perniagaan dan aktivis sukarelawan di harap dapat membantu memantapkan polisi, pentadbiran dan pembangunan di bawah bidang kuasa MBSA.

12 July 2010

PAS Seksyen 18 umpama Taman Melewar di Gombak

PAS Cawangan Sek 18 seperti Taman Melewar di Gombak. Begitulah perumpamaan yang boleh dikatakan mengenai aktiviti yang lazim dijalankan oleh PAS Seksyen 18.

Saban minggu ada sahaja program yang dijalankan samada berbentuk kuliah, ceramah maupun forum keagamaan ataupun politik.

Markaz PAS Seksyen 18 sentiasa dipenuhi dengan aktiviti yang diisi oleh penceramah dan pemimpin berwibawa dari seluruh pelusuk tanah air.


Bersempena dengan bulan isra', PAS Seksyen 18 tidak ketinggalan menganjurkan Forum Isra' Mikraj. Majlis itu menampilkan Pengacara us Riduan M Noor dan dua orang ahli Panel Us Mohd Nor Hamzah dan Us Fauzi Husin (menggantikan Us Nik Abduh).

Program-program di Markaz Seksyen 18 akan bertambah meriah lagi dengan ketibaan bulan Ramadhan tidak lama lagi denga program iftar, tarawikh, tazkirah dan ceramah setiap malam. Masyarakat setempat dijemput hadir untuk memeriahkan majlis dianjurkan di markaz ini disamping mendapat ilmu dan maklumat terkini.

06 July 2010

Tuduh PAS Sesat, Shafie Afdhal Biadab.

Parti Islam Se-Malaysia PAS menganggap dakwaan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung ucapannya yang didakwa menuduh Parti Islam Se-Malaysia itu sebagai parti ajaran sesat, sebagai satu kenyataan yang biadab. Beliau yang juga naib presiden Umno, dalam ucapan perasmian mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kulaijaya, telah menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat.
PAS mencabar beliau atas dakwaan apa beliau membuat kenyataan begitu? Apakah beliau sudah kehilangan arah dan celaru dalam pemikiran politik sehingga mengeluarkan kenyataan demikian rupa. Di dalam Perlembagaan Pas fasal 3 “Dasar Pas ialah Islam”. Fasal 7 (1) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan Pas ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijma’ Ulamak dan Qias yang terang dan nyata. Umno pula apa dasarnya dan apa pula rujukannya?

PAS tidak mahulah ajak Shafie menerangkan apa maksud Islam, Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias yang diperjuangkan oleh PAS. Kita tahu kemampuan beliau berhubung kait dengan hal ehwal agama ini. Jadi kalau beliau jahil berkenaan dengan dasar PAS maka jangan membuat tuduhan yang liar terhadap satu juta ahli PAS.

PAS menganggap kenyataan yang biadab daripada seorang naib Presiden Umno yang emosi dan mentah dalam hal ehwal agama sahaja yang sanggup mengeluarkan kenyataan begitu rupa. Parti PAS yang di dokong oleh Tuan Guru dan alim ulama’ macam mana beliau boleh menuduh PAS ajaran sesat.

Satu ketika dahulu PAS pernah dituduh lebih merbahaya daripada komunis, walaupun dalam sejarah perjuangan PAS tidak ada mereka yang menganut fahman komunis yang memimpin PAS, sebaliknya pemimpin Umno yang ditangkap kerana menjadi ejen komunis dan tahan di bawah ISA.

PAS berpandangan bahawa kenyataan biadab ini untuk memburukkkan perjuangan PAS di kalangan orang Islam khususnya dan orang bukan Islam yang sudah semakin dekat dengan perjuangan PAS. Beliau cuba menakutkan orang ramai supaya jangan sokong PAS ketika Umno mengalami masalah dalaman mereka dan kekurangan minyak pelincir untuk menggerakkan parti mereka, terutama lubuk emas umno di Selangor dan Pulau Pinang yang kini berada di bawah Pakatan Rakyat.

PAS menasiihatkan Shafei sebelum hendak menuduh PAS sebagai ajaran sesat , supaya beliau melihat dahulu beberapa kenyataan pemimpin Umno yang menghina hukum Allah dan janggut Nabi Muhammad S.A.W.

PAS memberi amaran, sekiranya beliau tidak menarik balik , kita akan mengarahkan supaya laporan polis dibuat di seluruh negara dan bacaan Yasin dan Solat Hajat diilakukan oleh satu juta ahli PAS di seluruh negara.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

01 July 2010

Saman Felda, lalu rakyat diam?

Saya seronok membaca kenyataan Ahmad Maslan. Felda menyaman PKR dan Suara Keadilan.
Tajuk berita Suara Keadilan ' Felda Bangkrap' dikira memfitnah Felda.

Ternyata Felda terdesak menutup perbincangan bagaimana rizab tunai susut lebih cepat dari paip bocor.

Felda memang belum bangkrap. Bangkrap yang dipakai sebagai tajuk oleh Suara Keadilan juga bukan bermaksud begitu.

Saman satu cara. Jika ada pihak yang takut lalu membisu, seronoklah Felda. Cerita ia berbelanja besar akan tertutup.

Tidak semudah itu. Saya yakin ramai pihak akan membantu Suara Keadlan merangka afidavit mendetailkan pemborosan-pemborosan dan pebelanjaan yang mengeringkan kantong Felda. Afidavit ini boleh dipetik pula oleh apa saja media. Mungkin, kesan tidak memihak kepada Felda.

Itu sebab saya seronok. Ini 'launching pad' untuk gerakan membongkar Felda mendapat tempat terhormat.

Jika Felda benar dan perbelanjaannya prudent, tidak ada salah menjemput MP ke satu taklimat Felda. Buka untuk pertanyaan. Ajak media ikut sama. Bentangkan penyata yang diodit. Jelaskan rasional tiap perbelanjaan dan pelaburan.

Rakyat rasa puas. Keraguan hilang. Keyakinan terbina. Maruah Felda memuncak.

Ahmad Maslan menekankan nilai saman RM 200 juta. Sekalipun Suara Keadilan ditakdirkan membayar semua saman itu, ia tidak cukup untuk menampung akaun Felda yang kekeringan.

Pada waktu Felda hauskan 200 juta dari Suara Keadilan, rakyat hauskan penjelasan tentang kedudukan Felda. Kehausan ini terus membengkak sekalipun Felda memfailkan sepuluh saman lagi.

Dato' Husam Musa
Exco Kerajaan Negeri Kelantan

Dipetik dari http://cetusan-hati.blogspot.com/

UMNO Putera keringkan wang Felda

Saya boleh membantu menjelaskan, sebahagaian, bagaimana ceritanya rizab tunai Felda dikeringkan.

Sejumlah setengah billion, (RM 512 juta) dibelanjakan melalui projek-projek (tak perlu dan di luar tugas Felda) yang disiapkan oleh firma arkitek yang sama.

Firma arkitek diterajui seorang Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Terengganu ini sudah pasti ada hubungan kekeluargaan yang rapat dengan tokoh dari Terengganu juga yang memayungi Felda.

Kasih sayang kekeluargaan mereka diluaskan dengan mencari jalan bersama bagaimana wang Felda boleh 'diuruskan'. Jumlahnya bukan sedikit, demi warga Felda tercinta....

Lantaran itu, projek bukan bidang tugas Felda sama sekali, turut dibiayai oleh Felda atas sifat pemurahnya. Seperti Kolej Komuniti di Terengganu (RM 18 juta) dan Sabah (RM 22 juta), Menaik Taraf Bekalan Air Di Pahang (RM 200 juta) dan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (RM 120 juta).

Apa kena mengena Mara dan Felda? Kos Maktab ini ialah RM 120 juta dan Felda dengan segala senang hatinya membiayai sepenuhnya. Mungkin kerana wang tunainya terlalu banyak, Felda berbesar hati membiayai projek bukan bidang tugasnya sekalipun.

Kononnya pula Felda sudah memasuki alaf moden dan untuk itu, bentuk impian Felda akan datang dibina dengan ciri-ciri peneroka Felda masa depan. Ia dipanggil Feldajaya.

Rumah bungalow mewah berharga mahal, rumah kedai dan lain-lain ciri bandar baru dalam satu kawasan 'masa depan' di bina. Setakat ini, empat Feldajaya telah dibangunkan (Mempaga, Trolak, Serting dan Cini) dengan reka bentuk oleh firma arkitek yang sama. Setakat ini, kosnya ialah RM 152 juta.

Samada rumah kedai dan bungalow ini laku dijual atau tidak, Felda tidak peduli sangat. Yang penting, itulah rumah peneroka masa depan Felda!

Asal dikata moden, wang habis tak mengapa. Itulah bagusnya bila ada wang melimpah.

RM setengah billion oleh firma arkitek bertuah ini.

Sebelum ini, saya telah tunjukkan, RM 800 juta pelaburan Felda di US dan Kanada. Pegawai Felda tak sampai setengah dozen yang membeku dek kedinginan di Quebec di musim sejuk, barangkali ada cerita boleh dikongsi dengan kami di Malaysia.

Maknanya, di sini sahaja, saya telah membantu Felda menjelaskan bagaimana sebanyak RM 1.3 billion rizab tunai Felda dibelanjakan!

Selebihnya, Felda sendiri boleh tolong jelaskan.....

Kalau Felda tak ada masa untuk jelaskan untuk tunjukkan pengurusannya telus dan amanah warga Felda menjadi taruhannya, saya tak ada masalah untuk jelaskan sedikit demi sedikit.

Dato' Husam Musa
Exco Kerajaan Negeri Kelantan

Dipetik dari http://cetusan-hati.blogspot.com/

14 June 2010

PESAN US HASAN SHUKRI

PAS Shah Alam mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham us Hasan Shukri yang meninggal dunia di Hospital Selayang sekitar jam 2.00 petang tadi.

Kali terakhir PAS Shah Alam menjemput Us Hasan Shukri dalam majlis rasmi anjuran parti ialah pada Retreat PAS Shah Alam di Jugra pada November 2009 lalu. Seperti kebiasaan, beliau tidak lupa berpesan agar PAS kepimpinan di peringkat kawasan agar sentiasa berusaha menambahkan bilangan ahli dan memperbanyakkan bilangan cawangan kerana inilah nadi yang akan memperkuatkan parti dalam apa jua keadaan. Mudah-mudahan pesan beliau akan disahut oleh kita semua. AL-FATIHAH.

Perkukuh parti hadapi Pilihan raya Umum ke-13

Khamis, 10 Jun 2010 22:06
Ditulis oleh Oleh TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

SELEPAS PAS ditendang keluar dari BN, PAS bersendirian, kembali dagang mengatur tapak membina kekuatan seperti dagangnya Nabi Muhammad SAW sekembalinya dari Thoif dengan kakinya yang mulia berlumuran darah sambil merayu kepada Allah SWT dengan doanya yang masyhur. Berkat kegigihan, kita bengah dengan semaraknya Kepimpinan Ulama disokong oleh penggerak tarbiyah parti yang terus.

Landasan tarbiyah turut sama mengukuhkan kepimpinan Pemuda dan Muslimat. Berkatnya Kepimpinan Ulama telah mendapat sokongan semakin ketara, sehingga mampu mengatur perancangan politik-dakwah mendepani segala cabaran.

Antaranya, persepakatan dengan Semangat 46 membolehkan PAS menguasai Kelantan semula pada tahun 1990, persefahaman dan penyertaan PAS dalam Barisan Alternatif menghadiahkan kemenangan di Terengganu pada tahun 1999 dan akhirnya melalui percaturan satu lawan satu di dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, ian telah mencatit sejarah di mana kita berjaya menafikan majoriti dua pertiga (2/3) Barisan Nasional di parlimen.

Hasilnya, berlaku hubungan politik PAS-PKR-DAP semakin kukuh. Ia membawa lahirnya Pakatan Rakyat sebagai alternatif baru untuk rakyat Malaysia menggantikan BN. Maka saya melihat kehadiran DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat ini semacam satu kifarah Allah SWT kepada kita semua pejuang PAS.

Ini kerana setelah beberapa lama alim ulama kita termasuk tok-tok guru di pondok-pondok tidak melaksanakan tugas dakwah menyebarkan Islam kepada kumpulan non Muslim (Cina, India, Siam atau orang Asli) menyebabkan sebaran dakwah baik di pondok atau di sekolah-sekolah Arab hanya berkisar di kalangan sesama Islam sahaja. Melayu ajar melayu sahaja. Maka secara politiknya kita berpakat, namun pakatan itu hendaklah bersama tugas dakwah. Sekarang rakain kita adalah mad’u kita.

“...melalui percaturan satu lawan satu di dalam pilihan raya umum ke-12lalu, ia telah mencatit sejarah di mana kita berjaya menafikan majoriti duapertiga (2/3) Barisan Nasional di parlimen..”.

Strategi sebegini amat penting kerana nilai perjuangan suci kita adalah tidak boleh lagi bersekongkol dengan pihak yang menyuburkan maksiat, lantaran kita telah melihat sendiri kesan politik dan pentadbiran kerajaan BN yang menimbulkan pelbagai kekalutan kepada rakyat dan negara. Berlaku semakin serius gejala maksiat, buang bayi, pembunuhan, rompakan, rasuah, kemelesetan dan sebagainya.

Atas alasan inilah, kita mahu menjadi alternatif kepada BN bagi menghadapi pilihanraya umum nanti. Pilihanraya tidak berlaku 4 atau 5 tahun sekali.

Bagi orang yang beragama, pilihan raya berlaku setiap saat antara nafsu ammarah, lawwamah dan mutmainnah. Kita mahu eratkan hubungan dengan DAP dan PKR dan kita mahu rakyat memberikan mandat kepada kita.

Justeru itu, kita hendaklah berani menawarkan alternatif ini dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya bahawa kita akan membuang semua unsur-unsur kerosakan yang ada di dalam kerajaan Umno pada hari ini dan menggantikannya dengan amalan pentadbiran bersifat good governence iaitu berintergeriti, adil, bermoral, cekap, telus dan bertanggungjawab. Kerana memang begitu ajaran Islam, itulah kelebihan kita bergerak di atas landasan Islam. Ia turun daripada Allah bukan diseludup masuk daripada Eropah.

Kita yakin dengan tawaran ini, misi kita bersama-sama Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum ke-13, bakal membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memenuhi aspirasi semua lapisan rakyat. Kerana tidak asatu pun ajaran Islam yang boleh memudaratkan manusia tanpa mengira bangsa.

Sehubungan itu, saya amat berharap agar pihak parti dapat menterjemah sebaik mungkin apa-apa langkah dan usaha atau strategi yang berkesan ke arah memastikan realiti PAS adalah sebenar-benar memimpin perubahan menghadapi pilihanraya umum ke13 nanti.

Perjalanan kita masih panjang, noktah perjuangan kita masih jauh. Namun, tanda-tanda kemenangan sudah kelihatan. Walaupun guruh di langit bukan menandakan hujan akan turun, namun sekurang-kurangnya harapan ada untuk menyaksikan kemarau akan berakhir. Lantaran itu, ingin saya ingatkan sekali lagi bahawa masa depan ialah bersama Pakatan Rakyat di dalam membina Malaysia yang baru.

Memahami realiti semua, maka PAS mestilah bersedia menunjukkan kehebatan dan kehebatan PAS itu adalah sentiasa berpegang kepada prinsip tidak mengasingkan agama dan politik, mempertahankan al-Quran dan Sunnah Nabi serta sentiasa berusaha ke arah penyatuan umat.

Dr Yusuf al-Qaradawi selalu menggunakan istilah asolah al-Islam wa hadathah al-siyasah.

Fokus menawan pengundi Melayu

Pilihan raya umum yang ke-12 dan siri pilihan raya kecil yang berlaku selepasnya, termasuklah terbaru di Hulu Selangor dan Sibu, jelas sekali bagaimana BN telah ditolak secara total oleh pengundi bukan Melayu. Hari ini, tidak dinafikan bahawa yang menjadi tongkat BN ialah pengundi Melayu.

Saya suka mengingatkan agar memerhati perkembangan ini dengan serius. PAS sebagai alternatif kepada Umno perlu bergerak dengan lebih cergas di dalam meraih sokongan pengundi Melayu. Jangan dibiarkan orang-orang Melayu terus ditipu hidup-hidup dengan momokan ‘Ketuanan Melayu’ yang merupakan dongengan pemimpin Umno.

Orang-orang Melayu perlu diingatkan bahawa keris yang dijulang oleh pemimpin Umno itu bukannya untuk memperjuangkan Melayu tetapi hanyalah untuk merobek perpaduan kaum dan menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka. Buktinya, Kelantan sebagai negeri yang majoritinya Melayu dinafikan hak untuk mendapatkan royalti minyak daripada buminya sendiri.

Projek-projek pembangunan daripada Pusat semuanya diserahkan kepada jabatan mereka sendiri. Semacam kerajaan Kelantan sekarang tidak sah dan pegawai-pegawai tidak berpelajaran, lemah dan korup.

Justeru, demi memastikan orang-orang Melayu turut bersama kita di dalam pelayaran bahtera perubahan ini, PAS perlu bergerak dengan lebih efektif agar dterima rakyat. Jika ditanya Kelantan apakah formulanya, saya suka menjawab bahawa formulanya ialah mendidik jiwa rakyat dengan agama, suburkan sanubari mereka dengan taqwa kepada Allah agar hati mereka tidak mati, tidak keras untuk menerima siraman hujan kebenaran.

Usaha ini dilakukan setiap masa, bukan 5 tahun sekali tatkala menjelang pilihan raya. Bahkan perlulah sentiasa memilih antara laluan fujuraha (maksiat) dan laluan taqwaha (ketaqwaan). Inilah beza antara jemaah Islam dan sekular.

Pada sudut inilah, saya meletak harapan besar kepada Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat agar meletakkan keutamaan menguasai sasaran lebih besar pengundi Muslim Melayu. Semoga dengan jumlah 110 kerusi parlimen yang majoritinya muslim, akan berlaku suatu pendekatan terbaik bagi menjamin kemenangan Islam setidak-tidaknya kesemua kerusi yang PAS bertanding.

Fokus mempamerkan Islam kepada golongan Non-muslim

Selain itu, saya amat berharap benar agar kita meningkatkan usaha untuk memperkenalkan Islam kepada saudara kita golongan Nonmuslim. Sudah sampai masanya untuk kita lebih serius mewajahkan semula Islam yang telah disolek dengan buruk oleh Umno.

Masyarakat Malaysia perlu disedarkan bahawa Islam bukan milik bangsa Melayu. Bahkan sejarah menyebut kaum Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam sebelum bangsa Melayu sendiri di benua masing-masing sebelum bangsa Melayu sendiri menerima Islam kira-kira 500 ratus tahun dahulu.

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah di atas penubuhan Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (ringkasnya Dewan Penyokong PAS). Dewan Penyokong ini adalah pemimpin dan ahlinya terdiri daripada rakan-rakan kita Nonmuslim yang sedia berjuang bersama kita. Ini merupakan satu langkah ke hadapan yang telah diambil ke arah mendekatkan perjuangan PAS kepada golongan bukan Islam (Non-muslim).

Alhamdulillah, saya melihat fobia terhadap PAS sudah terhapus di kalangan orang-orang bukan Islam. PAS sebelum ini dijadikan sebagai hantu oleh Umno untuk menakutkan Nonmuslim. Hantu itu sudah tidak wujud lagi, bahkan jika ia wujud juga, maka Umno-lah hantunya. Tinggalkanlah Umno dengan labu-labu kebangsaannya. PAS perlu terus melihat ke hadapan mengorak langkah memperkenalkan Islam sebagai cara hidup yang lurus.

Saya optimis, jika masyarakat Nonmuslim berjaya memahami Islam yang sebenar, InsyaAllah pisau-pisau perkauman yang sekarang galak diasah oleh BN akan tumpul dengan sendiri dan akan memakan tuannya.

Sepakat Putrajaya (Consociational)

Bertolak daripada gagasan menghadapi pilihanraya umum ke-13, ke arah menjadikan PAS sebagai peneraju politik negara, maka PAS hendaklah menguasai politik Melayu Muslim dan sekaligus mendapat kepercayaan pengundi bukan Melayu-Non Muslim.

Melihat kepada sambutan rakyat sejak pilihan raya umum 2008 dan sebelas (11) pilihan raya kecil, dapat dikatakan bahawa telah berlaku tsunami politik kalangan pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina. Terbaru, atas nama Pakatan Rakyat kita berjaya merampas parlimen Sibu dari Barisan Nasional. Ia adalah bukti peningkatan keyakinan rakyat terhadap pendekatan politik baru Pakatan Rakyat untuk menggantikan BN.

Justeru, kita yakin mood rakyat sekarang adalah bersama Pakatan Rakyat. Rakyat sudah jemu dengan pendekatan politik kebendaan ‘beli undi’ dan sekular Barisan Nasional. Atas prinsip politik Pakatan Rakyat yang mula diterima ini, maka PAS hendaklah bersama dengan mood rakyat.

Dengan ini, suka saya mencadangkan agar kesemua peringkat parti, khusus Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang bermuktamar kali ini dapat membincang dan merumuskan pendekatan politik-dakwah secara khusus atas cita-cita mengisi tema ‘Sepakat Putrajaya’ persis Fathu Makkah pada zaman Rasulullah SAW. Ia bermaksud, suatu laluan Putrajaya sudah dirintis, terbuka dan rakyat sedia mengiringinya.

Maka, pemimpin pasti sedar, dan tunggu apa lagi? Berkerjalah kita. Persoalannya, sejauh mana PAS sebagai parti untuk menguruskan bahtera perjuangan membuat persediaan. Seruan saya, mantapkan tindakan ke arah mengisi ‘Sepakat Putrajaya.’ Maka, laksanakanlah perintah Allah, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu..."

Sebagai menyahut seruan Sepakat Putrajaya ini, maka Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat hendakklah membina pelan strategik pilihanraya ke-13 sebagai panduan bagi memastikan segala usaha dewan-dewan adalah menyokong gagasan PAS memimpin perubahan tatkala pilihanraya umum akan datang.

Amanah kepada Dewan-Dewan

Jika demikian besarnya urusan parti, maka setiap dewan ada amanah yang perlu dilaksanakan. Terawalnya kepada Dewan Ulama, saya menaruh kepercayaan untuk berperanan sebagai pemantau dan penasihat yang berkesan. Alhamdulillah golongan ulama telah lama turun padang berkhutbah, berceramah, naik rumah turun rumah sebagaimana Rasulullah SAW masuk khemah keluar khemah di Padang Mina dahulu.

Ulama perlu yakin bahawa mereka merupakan kiblat kepada perjuangan.

Mana yang salah mereka perbetulkan, mana yang rebah mereka bangunkan, mana yang bengkok mereka luruskan. Jika ulama sendiri salah, rebah dan bengkok maka malanglah perjuangan ini. Al-Imam al-Ghazali rahimahullah di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin (jilid pertama) menyebut yang bermaksud: "Ulama ialah garam Allah di bumiNya".

Daging dan ikan dapat diselamatkan daripada berbau busuk dan rosak setelah diserapkan dengan garam. Apa kata jika garam itu sendiri tidak masin? Sudah tentu tidak ada lagi yang dapat menghalang daging itu busuk.

Berbezanya kita dengan Umno ialah kita meletakkan ulama sebagai institusi yang dihormati, Umno pula meletakkan ulama sebagai alat meraih sokongan. Selain itu, saya mencadangkan agar Dewan Ulama gigih berusaha membenttuk pelapis yang terdiri daripada ulama muda.

Berikut ucapan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Aziz merasmikan serentak Muktamar Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Pusat di Putik, 9 Jun 2010.

26 May 2010

Judi bola: Pengarah Jais diminta nyata pendirian

Oleh: Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM, 26 Mei: Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi diminta menyatakan pendirian peribadi dalam isu kerajaan Pusat meluluskan lesen judi bola sempena Piala Dunia 2010.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar), Khusrin sepatutnya tidak mengambil sikap berdiam diri kerana hukum berjudi jelas haram di sisi Islam.

Sehubungan itu, Khalid mencabar Khusrin mengambil sikap lantang dengan mengkritik pemimpin Umno dalam isu itu sebagaimana yang pernah dilakukan dalam isu penggunaan kalimah ‘Allah’ di kalangan masyarakat bukan Islam suatu ketika dahulu.

“Dalam isu judi, hukumnya haram mutlak, kenapa Khusrin tidak naikkan sepanduk sebagaimana beliau menentang pendirian PAS, Pakatan Rakyat dulu,” jelas beliau di pejabatnya, petang ini.

Disebabkan Khusrin masih tidak menyatakan penderian sejak isu judi tersebut meletus, Khalid turut mempersoal kredibilitinya sebagai penjawat awam di Jais sendiri.

“Adakah diam Khusrin ini disebabkan kesetiaannya pada Umno serta masih terkenang jawatannya setiausaha politik bagi Muhammad Muhd Taib (bekas Menteri Besar) suatu ketika dulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa Khusrin sebagai dalang Umno dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Ini kerana, dakwaannya, Khusrin bertanggungjawab menghalang para pendakwah berkhutbah di masjid.

Namun, selepas beliau sendiri mendedahkan gambar kain rentang Majlis Bacaan Yaasin Memenangkan Calon BN, Khusrin dilihat mengambil sikap berpeluk tubuh, seakan tidak mahu mempertikai Umno BN yang cuba membawa politik kepartian ke masjid.

Selain mempertikai Khusrin, Khalid turut mendesak Jais, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) serta Mufti Selangor, Datuk Haji Mohd Tamyes Abdul Wahid supaya menyuarakan protes terhadap pemimpin Umno negeri dan Pusat.

Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata, pihaknya turut mengutus surat memohon sembah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor supaya Tuanku Sultan perkenan untuk mempengaruhi Majlis Raja-Raja Malaysia mendesak kerajaan membatalkan lesen judi bola secepat mungkin.

Dipetik dari http://www.harakahdaily.net/

25 May 2010

KONVOI KE GAZA BERTOLAK DARI PELABUHAN ANTALYA, TURKI

25 Mei 2010, Selasa (K. Lumpur) - Pasukan Konvoi ke Gaza dengan Misi Kemanusiaan untuk rakyat Gaza di jangka berlepas dari Pelabuhan Antalya, Turki pada 10.00 pagi ini waktu Malaysia (waktu tempatan 9.00 malam).

Menurut wakil kami Tn Hj Jamuliddin Hj Elias yang juga Timbalan Presiden AMAL Malaysia, beliau akan berlepas malam ini waktu tempatan. Berikut adalah sms yang di hantar oleh beliau dari Pelabuhan Antalya, Turki : "Salam, Dari Istanbul 22 Mei ke Angkara 7jam by bas. 23 Mei ke Port Antalya 8jam by bas. 24 Mei jam 9pm boarding kapal bersama lebih 100 Ngo seluruh dunia.selps subuh (waktu M'sia 10am 25 Mei ) kami ke Gaza 15jam.


Jangkaan jika tiada gangguan 15 hari (selesai) info terbaru 16 kapal perang israel dan ratusan kapal lanun (Israel army menyamar) sudah ada di Lautan Mediterranean) kami standby 3 bulan, akan berusaha masuk dgn apa cara sekali pun. Jika sy meninggal dunia, sy mohon maaf zahir batin C Husin fwd kwn2, umi fwd adik beradik (YDP MPK tlg maklum pd full council), YB Dr Rani maklum kwn2 (now, sy boarding Kapal go to Gaza..Hj JE at port Antalya, Tukri."

Menurut beliau lagi sewaktu di wawancara secara langsung oleh wartawan Radio IKIM.FM pada 10.00 malam tadi, beliau mengharapkan sangat doa dari rakyat Malaysia dan berterima kasih di atas sokongan. Sumbangan dari rakyat Malaysia untuk Ummat Palestin akan beliau usaha untuk sampaikan sendiri kepada mereka sebab ini adalah amanah yang telah di berikan kepada beliau oleh rakyat Malaysia khususnya.

Petikan dari http://www.amalmalaysia.net/

21 May 2010

DEMONSTRASI AMAN BANTAH JUDI PIALA DUNIA DI SELURUH NEGARA

Bantahan judi bolasepak piala dunia mula digerakkan secara menyeluruh oleh Dewan Pemuda Pas Pusat.

Beberapa perhimpunan aman selepas solat jumaat diadakan dibeberapa buah masjid utama di negeri-negeri di Perak dan Terengganu berjaya menghimpunkan sejumlah jemaah masjid yang prihatin dan kecewa dengan keputusan Kementerian Kewangan meneruskan hasrat meluluskan judi bola sepak piala dunia di negara ini.


Namun di masjid-masjid di Selangor, hanya beberapa buah masjid yang telah mula mengadakan himpunan aman membantah judi bola tersebut. Belum ada lagi himpunan besar-besaran berpusat yang diadakan. Situasi yang sama juga diperhatikan di Shah Alam.

Menurut Pemangku Ketua Pemuda PAS Shah Alam, Nasharudin Hasim, bantahan aman secara besar-besaran akan diadakan pada minggu hadapan di Shah Alam. Orang ramai dan pencinta Islam diminta bersedia untuk turut bersama-sama menunjukkan sokongan terhadap himpunan aman selepas solat Jumaat bagi membantah kelulusan Judi Piala Dunia itu dilokasi yang akan dimaklumkan kemudian.

Namun, dalam masa yang sama Pemuda UMNO dan pertubuhan PERKASA yang sebelum ini kononnya begitu lantang memperjuangkan Islam melalui beberapa isu kontroversi seperti Isu Kepala lembu, kuil dan Kalimah Allah masih lagi membisu seribu bahasa.

18 May 2010

KELANTAN GOVT LAUNCHES INTERNET WITH NO ACCESS TO "IMMORAL" SITES

Kelantan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat today launched the "Internet Thoyyibah", which prohibits access to "approved" sites.

The service is held in collaboration between the state government and Jaring Communications (Jaring).

According to Jaring chief executive officer, Dr Mohamed Awang Lah, the service prevents access to "black-listed" sites and only allow access to "white-listed" Internet pages. "The service will allow parents and heads of departments to monitor Internet access and ensure healthy online practices among children and government employees," he added.

Meanwhile, Nik Abdul Aziz, when launching the Internet service at Balai Islam here, hoped the service would bridge the digital divide among the people in the state.

He said currently, about 10 per cent of the 1.5 million population in Kelantan were Internet users, which was the lowest among other states.
"With Internet Thoyyibah, the digital divide between Kelantan and other states can be reduced," he added.

- Bernama

13 May 2010

Judi bola sepak: Pimpinan PAS, PKR, DAP sepakat bantah

Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sepakat membantah keras keputusan kerajaan Malaysia meluluskan judi bola sepak. Berikut kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pimpinan tertinggi PR

Presiden PAS, TG Abdul Hadi Awang:
"Langkah pihak kerajaan memperkenalkan lesen judi sukan dalam negara pada masa sekarang ini adalah satu tindakan yang jauh menyimpang dari ajaran Islam dan tatacara kehidupan yang diterima dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini"

"Ianya menggambarkan bahawa kerajaan pimpinan Umno-BN yang ada pada waktu sekarang ini telah bankrap idea dan sedang membawa negara mundur ke belakang ke arah yang lebih jauh dari ajaran Islam."

"Dalam hal ini kita telah mendapat respon yang sangat baik dari kalangan orang bukan Islam, malah kita juga telah berjaya menarik sokongan rakan-rakan dari DAP dan PKR yang bukan Islam untuk menyokong bagi mengharamkan judi"
"Inilah kejayaan satu anjakan paradigma dalam aspek dakwah apabila kita memberi kefahaman kepada orang bukan Islam untuk menerima apa yang diharamkan oleh Islam."


Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya:
"Menghalalkan perjudian sukan akan hanya menambah masalah penyakit sosial yang sedang melanda masyarakat"

"Meluasnya judi sukan akan secara langsung menyerang tunjang budi pekerti (moral) masyarakat yang giat berusaha menghapuskan penyakit sosial seperti rasuah, jenayah keganasan seksual, penderaan dalam rumah dan pinjaman 'jerung' ah long."

"Warga Malaysia menyukai Piala Dunia dan sukan bola sepak umumnya. Menghalalkan perjudian akan hanya membawa lebih ramai orang ke dalam kancah kitaran ganas yang berakhir dengan kemiskinan dan ketagihan judi"

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Phua
"Kelulusan lesen ini merupakan satu tindakan yang memperolokkan Model Ekonomi Nasional (MEN) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak"

"Kini, dengan menganugerahkan konsesi paling mewah untuk tahun ini kepada tokoh yang terkenal rapat dengan pemimpin BN, Tan Sri Vincent Tan, Najib telah membakul sampahkan segala ucapan dan janjinya sebelum ini"

"Yang paling sedihnya, ia dibuat dalam keadaan paling buruk, tiada permintaan terbuka untuk membuat cadangan dan tiada tender terbuka atau sebutharga untuk lesen judi sukan."
"Atas dasar apa Vincent Tan dianugerahkan konsesi bernilai bilion ringgit ini yang bukan sahaja akan mengkayakan dia tetapi dalam masa yang sama merosakkan rakyat melalui dorongan untuk berjudi."

Nota: Disunting dari harakahdaily.net

12 May 2010

Pentas 'Kenali Pemimpin UMNO' sanggah lesen judi Piala Dunia

Kenyataan Tony Puah, Ketua Pemuda DAP, tentang langkah Najib melesenkan perjudian Piala Dunia, amat membanggakan.

Akhbar melaporkan kelulusan telah diberi kepada Berjaya Group untuk 'memakmurkan' lagi perjudian negara kita, kali ini mengambil kesempatan dari 'mood' nak berjudi sempena Piala Dunia.
Jelas, BN memanipulasi peluang ini untuk mengaut sebanyak mungkin keuntungan. Moral politik tidak pernah menjadi ukuran. Hujah lapok untuk mengelakkan perjudian 'haram' dengan dilesenkan, dicukaikan dan dikutip dividen untuk menjadi 'halal' terus digunakan.

Di tangan UMNO/BN sahaja terletak kuasa menghalal dan mengharamkan. Mereka berkuasa lebih dari Tuhan.

Kesan ekonomi dan sosial kepada rakyat terbanyak semua kaum tidak pernah diambil kira.
Tony Puah menyindir - inikah bentuk Model Ekonomi Baru Najib?

Zulkifli Nordin sekali lagi memberi amaran, dalam masa terdekat salah satu negeri Pakatan akan tumbang mengikut cara Perak. Rampasan kuasa melalui pembelian.

Saya yakin begitu. Berdasarkan maklumat.

Keuntungan judi ini akan digunakan untuk satu operasi politik yang kotor.

Bukankah kita masih boleh bersuara dengan pelbagai cara dan gaya untuk mendedahkan kejalangan tindakan ini?

Pentas Rakyat yang mempamirkan tokoh pelbagai latarbelakang hendaklah segera diadakan di seluruh negara - menerangkan isu ini.

'Kenali Pemimpin UMNO' di Kedah, di Selangor, di mana-mana sampai ke desa-desa. Atau apa jua nama lain.

Jika Tony Puah dan lain-lain pemimpin bukan Melayu boleh bersama pemimin seperti Tok Guru Presiden dan Mursyidul Am dan lain-lain - mencela langkah UMNO/BN mengambil kesempatan melesenkan perjudian ini dengan 2,000 premis jualan di seluruh negara, UMNO/BN boleh terencat.

Ia akan menjadi pentas pertama seumpamanya dalam isu ini.

Dalam UMNO sendiri bukan sedikit yang tidak bersetuju dengan polisi 'gila wang semata-mata' ini.

Lihat laporan Berita Harian , Sabtu 8 mei, muka surat 2;

“Syor lesen pertaruhan Piala Dunia dibantah”
…..cadangan kerajaan untuk mengeluarkan lesen pertaruhan….mendapat tentangan banyak pihak termasuk pemimpin UMNO kerana memberikan kesan negatif dan imej buruk kepada Negara yang majority rakyatnya beragama Islam……

AMT Umno , Mohd Fuad Zarkashi, berkata cadangan berkenaan bukan saja menjejaskan imej kerajaan , malah bertentangan dengan perlembagaan persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi……..

Mufti Perak , Tan Sri Harussani …semua bentuk judi termasuk pertaruhan bola sepak sempena Piala Dunia adalah haram dalam Islam

Bekas penasihat agama istana, Datuk Abu Hasan Din Al-hafiz, .. berkata kerajaan tidak wajar meneruskan niat untuk mengeluarkan lesen pertaruhan sukan terutama sempena Piala Dunia kerana langkah itu menggalakkan masyarakat termasuk umat Islam terjebak dengan kegiatan perjudian.

Presiden Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abd Ralip, …secara tegas membantah cadangan itu yang akan memberikan kesan ……

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut ..cadangan terbabit adalah tidak wajar dan bertentangan dengan ajaran Islam sekiranya ingin memperoleh kemakmuran

Pergerakan UMNO Bahagian Kuala Kedah “ lesen pertaruhan piala dunia undang kebencian pengundi Melayu” - …saya berpendapat kerajaan tidak perlu mengeluarkan lesen berkenaan keranan aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku kerana sindiket judi tetap akan menganjurkan pertaruhan haram bagi mendapatkan keuntungan yang lebih… …… perkara lebih penting lagi isu lesen judi itu akan terus berkumandang sehingga PRU ke 13 nanti. Ia akan dijadikan modal oleh pakatan pembangkang terutama PAS bagi menarik sokongan pengundi Melayu…….. Ketika itu pendapatan untung yang tidak seberapa hasil cukai judi Piiala Dunia 2010 tidak akan dapat menampung kebencian pengundi Melayu terhadap BN umumnya dan UMNO khususnya.
 
Dipetik dari http://cetusan-hati.blogspot.com/

06 May 2010

Pemergian Hj Nordin Nayan, Sek 16

Seorang pendokong veteran PAS Seksyen 16 Shah Alam , Hj Nordin Nayan, telah kembali ke rahmatullah pada Selasa 4 Mei 2010 baru-baru ini setelah lama menderita sakit. Jenazah beliau telah disembahyangkan di Masjid Jamek Raja Tun Uda dan diimamkan oleh Ustaz Shamsul Firdaus, Pegawai Khas ADUN Kota Anggerik pada pagi Rabu 5 Mei 2010. Jenazah beliau kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Antara yang turut hadir memberi penghormatan terakhir dan menyempurnakan solat jenazah adalah YB Hj Khalid Samad Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof TYDP Pas Shah Alam, Hj Safwan Zubair Bendahari PAS Shah Alam, Pimpinan PAS Seksyen 16 selain sanak saudara dan sahabat handai Allahyarham.

Beliau adalah diantara pendokong veteran PAS Shah Alam yang istiqamah dengan perjuangan.

Semoga roh beliau ditempatkan bersama-sama dengan para solihin. Al FATIHAH!

Gambar: Hj Khalid Samad menghulurkan sumbangan peribadi dan menyampaikan sumbangan Skim Warga Emas, (MES) kepada waris Allahyarham sambil diperhatikan oleh Ustaz Shamsul Firdaus.

03 May 2010

PELAJAR CEDERA DALAM SERBUAN POLIS DI DATARAN SHAH ALAM

Seorang pelajar kolej cedera ketika polis menyerbu sekumpulan belia yang baru selesai dan mula beredar setelah mengikuti program Sembang Santai bersama remaja di Dataran Shah Alam awal pagi Ahad baru-baru ini.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 12:15 pagi tersebut, beberapa buah kereta polis tiba-tiba menyerbu kumpulan remaja dan orang ramai yang masih lagi berada di Dataran Shah Alam setelah mengikuti program tersebut. Mereka yang terkejut dan ketakutan apabila diserbu oleh polis yang menaiki dua buah kereta Proton Waja dan sebuah SUV Nissan X-Trail. Program yang tamat sekitar jam 12 tengah malam itu telah berjaya menarik golongan remaja yang selalu mengunjungi dataran tersebut.


Mereka mula melarikan diri dengan motorsikal masing-masing apabila anggota polis keluar dari kereta mereka dan kelihatan menyerang kumpulan belia tersebut. Salah seorang dari mereka, Mohamad Nazmi Anwar, cuba melarikan diri ke arah Hotel Quality Inn telah bertembung dengan sebuah dari arah bertentangan iaitu Lebuh Raya Persekutuan. Pelajar tersebut terjatuh, bangun semula dan melarikan diri sebelum melanggar belakang sebuah van dipercayai setelah hilang kawalan akibat ditendang oleh seorang anggota polis.

Peristiwa ini disaksikan oleh orang ramai, pengunjung Dataran Shah Alam dan petugas program yang sedang berkemas dan berehat setelah menyelesaikan urusan majlis tersebut. Mereka terperanjat dengan cara anggota menyerbu secara tiba-tiba seolah-olah terdapat kesalahan jenayah yang dilakukan disitu. Tindakan pihak berkuasa itu dilihat membahayakan mengunjung yang hadir di antaranya keluarga yang membawa anak-anak mereka bersiar-siar di situ. Keselamatan pengunjung yang bersiar disitu terdedah dan boleh di langgar oleh belia yang bertempiaran lari akibat ketakutan dengan serbuan polis tersebut.

Kejadian ini turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Shah Alam yang berpendapat serbuan itu seharusnya dilakukan dengan bertanggungjawab dan mengambil kira bahawa belia yang hadir ke situ adalah kerana mereka baru menghadiri satu program "outreach" untuk mendekati remaja. Beliau hairan kenapa tidakan serbuan dan ganas seperti itu perlu dilakukan kerana remaja bermotorsikal itu boleh disuraikan secara aman sekalipun mereka didapati berkumpul melewati waktu tengah malam. Apatah lagi mereka baru sahaja menghadiri program yang baik untuk membenteras gejala sosial dikalangan remaja.

Dalam program tersebut, pengunjung termasuk remaja bermotorsikal telah dipersembahkan siri tazkirah dan nasihat yang diselangselikan dengan nyanyian dan puisi berkonsep ketuhanan dan kemanusiaan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk, MPP Zon 1, Hj Azli Yusof yang menganggotai jawatankuasa pengajuran program tersebut dan berada di situ terkejut dengan apa yang berlaku awal pagi Ahad yang telah disaksikan sendiri oleh beliau. Beliau berharap aspek keselamatan pengunjung di Dataran Shah Alam diambil kira sekalipun pihak berkuasa ingin menyuraikan remaja-remaja bermotorsikal yang masih berada di situ sehingga awal pagi.

Pihak MPP mengambil kaedah mendekati remaja dengan memberikan pendidikan dan kesedaran, bukan dengan pendekatan menghukum atau menakutkan mereka. Beliau juga berharap pihak polis dapat memberikan sokongan terhadap program-program yang dianjurkan untuk mendidik dan memberi kesedaran terhadap golongan remaja bermotorsikal yang sering menjadikan tempat tumpuan seperti Dataran Shah Alam, Dataran Kemerdekaan.

28 April 2010

IBU AMINULRASYID RAYU ALLAHYARHAM TIDAK DIKAITKAN PENJENAYAH

Ibu kepada Aminulrasyid, Puan Norsiah Mohammad, ibu pelajar sekolah yang ditembak Polis awal pagi Isnin lepas merayu agar Allahyarham tidak dikaitkan dengan dengan kegiatan samun, apatah lagi menggelar anaknya sebagai penjenayah. Beliau yang amat rapat dengan anak bongsunya itu amat mengenali hati budi Allahyarham. Aminulrasyid, menurut beliau, juga dikenali oleh rakan sebaya sebagai seorang yang baik hati dan selalu mendahulukan kawan. Beliau kesal dan tidak dapat menerima laporan akhbar yang tersiar keseluruh negara, tidak henti-henti mengaitkan Aminul dengan kegiatan jenayah samun.

Beliau juga yakin bahawa Allahyarham yang memandu tanpa lesen amat ketakutan ketika bertembung dengan kereta Polis Peronda menyebabkan beliau memandu terlalu laju sehingga menimbulkan syak anggota. Namun beliau kesal dengan tindakan menembak dari belakang yang dilakukan terhadap Aminulrasyid kerana pihak polis sememangnya mempunyai keupayaan yang banyak untuk menahan kereta yang dinaiki anaknya.

Demikian rintihan Puan Norsiah ketika menerima kunjungan Ahli Jawatan Kuasa dan aktivis PAS Shah Alam diketuai Pemangku Yang DiPertua, Hj Azli Yusof pada pagi Rabu 20 April 2010. Kunjungan ini dibuat PAS Shah Alam sebagai menzahirkan rasa simpati di atas musibah yang menimpa keluarga Allahyarham Aminulrasyid, seterusnya memberikan sokongan agar tabah menghadapi ujian tersebut.

Beliau terharu dengan keperihatinan PAS Shah Alam dan berterimakasih di atas kunjungan dan ziarah yang di lakukan.

Sehubungan dengan itu, PAS Shah Alam telah menghantar satu memorandum kepada kepada Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontingen di Seksyen 9, Shah Alam bagi mendesak pembelaan sewajarnya kepada Allahyarham Aminulrasyid dan keluarga. Memorandum itu juga mendesak agar pihak Polis yang masih melakukan siasatan terhadap kes ini agar tidak mengalih perhatian masyarakat terhadap kemungkinan berlakunya kecuaian, seterusnya mendesak agar membersihkan nama baik Allahyarham yang masih muda remaja dari terlibat dengan kegiatan jenayah samun.

Dato Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Selangor, yang menerima sendiri memorandum itu mengulangi jaminan beliau sebelum ini bahawa kes itu akan ditangani dengan telus dan adil sehingga terserlah kebenaran.

PAS Shah Alam berharap jaminan ini akan dapat dilaksanakan sehingga pembelaan sewajarnya dapat diberikan kepada keluarga Allahyarham dan keyakinan orang ramai terhadap institusi Polis yang menjaga keamanan dan keselamatan awam dapat dipulihkan.

Turut sama menghantar memorandum adalah Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) yang diwakili oleh Us Hasbullah Ridzuan and AJK Pas Shah Alam, Hj Sofian Shariff.

27 April 2010

KEADILAN UNTUK ALLAHYARHAM ADIK AMINULRASYID

Pas Shah Alam melahirkan rasa simpati terhadap keluarga dan rakan-rakan adik Aminulrasyid yang mati ditembak Polis di kawasan perumahan Seksyen 11, Shah Alam pada awal pagi Isnin 26 April 2010 baru-baru ini.

Allahyarham ditembak mati di kepala ketika sedang memandu sebuah kereta Proton Saga bersama dengan seorang lagi rakannya berikutan dikejar oleh pihak Polis Peronda. Adik Aminul Rashid dipercayai ketakutan dan memecut keretanya kerana memandu tanpa lesen. Beberapa das tembakan telah dilepaskan dan satu daripadanya mengenai kepala adik Aminulrasyid.

Pihak Polis, seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar harian, menyatakan bahawa tindakan tembakan itu dilakukan kerana mensyaki kereta yang dipandu oleh adik Aminulrasyid itu adalah kereta penyamun.

Maklumat dan tinjauan yang diperolehi dari keluarga dan rakan-rakan adik Aminulrasyid mendapati bahawan Allahyarham adalah seorang yang baik dan merupakan seorang ahli sukan di sekolah. Adalah tidak manasabah mengaitkan beliau sebagai seorang penjenayah semata-mata kerana hendak melindungi kesilapan yang dilakukan oleh pihak polis.

Timbalan Yang Di Pertua PAS Shah Alam, Hj Azli Yusof yang turut bersama-sama dengan Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad dan ADUN Kota Anggerik, YB Yaakob Safari dalam satu sidang akhbar pagi Selasa menuntut Pihak Polis agar menjalankan siasatan menyeluruh di atas kematian adik Aminulrasyid. Dalam masa yang sama pihak polis diminta mempastikan kejadian sebenar tidak disorok, diubahsuai atau ditokok tambah. Apatah lagi mengaitkan pelajar yang baru berumur 15 tahun itu terlibat dengan kegiatan jenayah.
 
PAS Shah Alam berharap agar pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kejadian ini, membersihkan nama baik adik Amimulrasyid dan seterusnya menzahirkan keadilan kepada masyarakat yang mengharapkan pihak polis menjaga keselematan mereka. Tidak seharusnya keluarga yang telah kehilangan seorang anggota yang mereka sayangi itu terus dipalitkan dengan cerita yang direka semata-mata kerana melindungi tindakan anggota pihak berkuasa itu.

KEADILAN UNTUK ALLAHYARHAM ADIK AMINULRASYID !!!