06 May 2010

Pemergian Hj Nordin Nayan, Sek 16

Seorang pendokong veteran PAS Seksyen 16 Shah Alam , Hj Nordin Nayan, telah kembali ke rahmatullah pada Selasa 4 Mei 2010 baru-baru ini setelah lama menderita sakit. Jenazah beliau telah disembahyangkan di Masjid Jamek Raja Tun Uda dan diimamkan oleh Ustaz Shamsul Firdaus, Pegawai Khas ADUN Kota Anggerik pada pagi Rabu 5 Mei 2010. Jenazah beliau kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Antara yang turut hadir memberi penghormatan terakhir dan menyempurnakan solat jenazah adalah YB Hj Khalid Samad Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof TYDP Pas Shah Alam, Hj Safwan Zubair Bendahari PAS Shah Alam, Pimpinan PAS Seksyen 16 selain sanak saudara dan sahabat handai Allahyarham.

Beliau adalah diantara pendokong veteran PAS Shah Alam yang istiqamah dengan perjuangan.

Semoga roh beliau ditempatkan bersama-sama dengan para solihin. Al FATIHAH!

Gambar: Hj Khalid Samad menghulurkan sumbangan peribadi dan menyampaikan sumbangan Skim Warga Emas, (MES) kepada waris Allahyarham sambil diperhatikan oleh Ustaz Shamsul Firdaus.

03 May 2010

PELAJAR CEDERA DALAM SERBUAN POLIS DI DATARAN SHAH ALAM

Seorang pelajar kolej cedera ketika polis menyerbu sekumpulan belia yang baru selesai dan mula beredar setelah mengikuti program Sembang Santai bersama remaja di Dataran Shah Alam awal pagi Ahad baru-baru ini.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 12:15 pagi tersebut, beberapa buah kereta polis tiba-tiba menyerbu kumpulan remaja dan orang ramai yang masih lagi berada di Dataran Shah Alam setelah mengikuti program tersebut. Mereka yang terkejut dan ketakutan apabila diserbu oleh polis yang menaiki dua buah kereta Proton Waja dan sebuah SUV Nissan X-Trail. Program yang tamat sekitar jam 12 tengah malam itu telah berjaya menarik golongan remaja yang selalu mengunjungi dataran tersebut.


Mereka mula melarikan diri dengan motorsikal masing-masing apabila anggota polis keluar dari kereta mereka dan kelihatan menyerang kumpulan belia tersebut. Salah seorang dari mereka, Mohamad Nazmi Anwar, cuba melarikan diri ke arah Hotel Quality Inn telah bertembung dengan sebuah dari arah bertentangan iaitu Lebuh Raya Persekutuan. Pelajar tersebut terjatuh, bangun semula dan melarikan diri sebelum melanggar belakang sebuah van dipercayai setelah hilang kawalan akibat ditendang oleh seorang anggota polis.

Peristiwa ini disaksikan oleh orang ramai, pengunjung Dataran Shah Alam dan petugas program yang sedang berkemas dan berehat setelah menyelesaikan urusan majlis tersebut. Mereka terperanjat dengan cara anggota menyerbu secara tiba-tiba seolah-olah terdapat kesalahan jenayah yang dilakukan disitu. Tindakan pihak berkuasa itu dilihat membahayakan mengunjung yang hadir di antaranya keluarga yang membawa anak-anak mereka bersiar-siar di situ. Keselamatan pengunjung yang bersiar disitu terdedah dan boleh di langgar oleh belia yang bertempiaran lari akibat ketakutan dengan serbuan polis tersebut.

Kejadian ini turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Shah Alam yang berpendapat serbuan itu seharusnya dilakukan dengan bertanggungjawab dan mengambil kira bahawa belia yang hadir ke situ adalah kerana mereka baru menghadiri satu program "outreach" untuk mendekati remaja. Beliau hairan kenapa tidakan serbuan dan ganas seperti itu perlu dilakukan kerana remaja bermotorsikal itu boleh disuraikan secara aman sekalipun mereka didapati berkumpul melewati waktu tengah malam. Apatah lagi mereka baru sahaja menghadiri program yang baik untuk membenteras gejala sosial dikalangan remaja.

Dalam program tersebut, pengunjung termasuk remaja bermotorsikal telah dipersembahkan siri tazkirah dan nasihat yang diselangselikan dengan nyanyian dan puisi berkonsep ketuhanan dan kemanusiaan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk, MPP Zon 1, Hj Azli Yusof yang menganggotai jawatankuasa pengajuran program tersebut dan berada di situ terkejut dengan apa yang berlaku awal pagi Ahad yang telah disaksikan sendiri oleh beliau. Beliau berharap aspek keselamatan pengunjung di Dataran Shah Alam diambil kira sekalipun pihak berkuasa ingin menyuraikan remaja-remaja bermotorsikal yang masih berada di situ sehingga awal pagi.

Pihak MPP mengambil kaedah mendekati remaja dengan memberikan pendidikan dan kesedaran, bukan dengan pendekatan menghukum atau menakutkan mereka. Beliau juga berharap pihak polis dapat memberikan sokongan terhadap program-program yang dianjurkan untuk mendidik dan memberi kesedaran terhadap golongan remaja bermotorsikal yang sering menjadikan tempat tumpuan seperti Dataran Shah Alam, Dataran Kemerdekaan.

28 April 2010

IBU AMINULRASYID RAYU ALLAHYARHAM TIDAK DIKAITKAN PENJENAYAH

Ibu kepada Aminulrasyid, Puan Norsiah Mohammad, ibu pelajar sekolah yang ditembak Polis awal pagi Isnin lepas merayu agar Allahyarham tidak dikaitkan dengan dengan kegiatan samun, apatah lagi menggelar anaknya sebagai penjenayah. Beliau yang amat rapat dengan anak bongsunya itu amat mengenali hati budi Allahyarham. Aminulrasyid, menurut beliau, juga dikenali oleh rakan sebaya sebagai seorang yang baik hati dan selalu mendahulukan kawan. Beliau kesal dan tidak dapat menerima laporan akhbar yang tersiar keseluruh negara, tidak henti-henti mengaitkan Aminul dengan kegiatan jenayah samun.

Beliau juga yakin bahawa Allahyarham yang memandu tanpa lesen amat ketakutan ketika bertembung dengan kereta Polis Peronda menyebabkan beliau memandu terlalu laju sehingga menimbulkan syak anggota. Namun beliau kesal dengan tindakan menembak dari belakang yang dilakukan terhadap Aminulrasyid kerana pihak polis sememangnya mempunyai keupayaan yang banyak untuk menahan kereta yang dinaiki anaknya.

Demikian rintihan Puan Norsiah ketika menerima kunjungan Ahli Jawatan Kuasa dan aktivis PAS Shah Alam diketuai Pemangku Yang DiPertua, Hj Azli Yusof pada pagi Rabu 20 April 2010. Kunjungan ini dibuat PAS Shah Alam sebagai menzahirkan rasa simpati di atas musibah yang menimpa keluarga Allahyarham Aminulrasyid, seterusnya memberikan sokongan agar tabah menghadapi ujian tersebut.

Beliau terharu dengan keperihatinan PAS Shah Alam dan berterimakasih di atas kunjungan dan ziarah yang di lakukan.

Sehubungan dengan itu, PAS Shah Alam telah menghantar satu memorandum kepada kepada Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontingen di Seksyen 9, Shah Alam bagi mendesak pembelaan sewajarnya kepada Allahyarham Aminulrasyid dan keluarga. Memorandum itu juga mendesak agar pihak Polis yang masih melakukan siasatan terhadap kes ini agar tidak mengalih perhatian masyarakat terhadap kemungkinan berlakunya kecuaian, seterusnya mendesak agar membersihkan nama baik Allahyarham yang masih muda remaja dari terlibat dengan kegiatan jenayah samun.

Dato Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Selangor, yang menerima sendiri memorandum itu mengulangi jaminan beliau sebelum ini bahawa kes itu akan ditangani dengan telus dan adil sehingga terserlah kebenaran.

PAS Shah Alam berharap jaminan ini akan dapat dilaksanakan sehingga pembelaan sewajarnya dapat diberikan kepada keluarga Allahyarham dan keyakinan orang ramai terhadap institusi Polis yang menjaga keamanan dan keselamatan awam dapat dipulihkan.

Turut sama menghantar memorandum adalah Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) yang diwakili oleh Us Hasbullah Ridzuan and AJK Pas Shah Alam, Hj Sofian Shariff.

27 April 2010

KEADILAN UNTUK ALLAHYARHAM ADIK AMINULRASYID

Pas Shah Alam melahirkan rasa simpati terhadap keluarga dan rakan-rakan adik Aminulrasyid yang mati ditembak Polis di kawasan perumahan Seksyen 11, Shah Alam pada awal pagi Isnin 26 April 2010 baru-baru ini.

Allahyarham ditembak mati di kepala ketika sedang memandu sebuah kereta Proton Saga bersama dengan seorang lagi rakannya berikutan dikejar oleh pihak Polis Peronda. Adik Aminul Rashid dipercayai ketakutan dan memecut keretanya kerana memandu tanpa lesen. Beberapa das tembakan telah dilepaskan dan satu daripadanya mengenai kepala adik Aminulrasyid.

Pihak Polis, seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar harian, menyatakan bahawa tindakan tembakan itu dilakukan kerana mensyaki kereta yang dipandu oleh adik Aminulrasyid itu adalah kereta penyamun.

Maklumat dan tinjauan yang diperolehi dari keluarga dan rakan-rakan adik Aminulrasyid mendapati bahawan Allahyarham adalah seorang yang baik dan merupakan seorang ahli sukan di sekolah. Adalah tidak manasabah mengaitkan beliau sebagai seorang penjenayah semata-mata kerana hendak melindungi kesilapan yang dilakukan oleh pihak polis.

Timbalan Yang Di Pertua PAS Shah Alam, Hj Azli Yusof yang turut bersama-sama dengan Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad dan ADUN Kota Anggerik, YB Yaakob Safari dalam satu sidang akhbar pagi Selasa menuntut Pihak Polis agar menjalankan siasatan menyeluruh di atas kematian adik Aminulrasyid. Dalam masa yang sama pihak polis diminta mempastikan kejadian sebenar tidak disorok, diubahsuai atau ditokok tambah. Apatah lagi mengaitkan pelajar yang baru berumur 15 tahun itu terlibat dengan kegiatan jenayah.
 
PAS Shah Alam berharap agar pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kejadian ini, membersihkan nama baik adik Amimulrasyid dan seterusnya menzahirkan keadilan kepada masyarakat yang mengharapkan pihak polis menjaga keselematan mereka. Tidak seharusnya keluarga yang telah kehilangan seorang anggota yang mereka sayangi itu terus dipalitkan dengan cerita yang direka semata-mata kerana melindungi tindakan anggota pihak berkuasa itu.

KEADILAN UNTUK ALLAHYARHAM ADIK AMINULRASYID !!!

26 April 2010

SYABAS PETUGAS JPrK PAS SHAH ALAM DI P094 HULU SELANGOR

Pas Shah Alam mengucapkan sekalung penghargaan kepada seluruh petugas dan Jentera Pilihanraya PAS Shah Alam yang telah bertungkus lumus sejak dari sebelum hari penamaan calon sehinggalah kepada selesai pengiraan undi Pilihanraya Kecil P094 Hulu Selangor.

Saudara Zul Nani, Pengarah Pilihanraya PAS Shah Alam, mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas PAS Shah Alam yang telah bertugas dengan cemerlang dan membuktikan kemampuan bekerja sebagai sebuah pasukan yang mantap.

Jentera Pilihanraya PAS Shah Alam yang ditempatkan di Unit Peti Undi Kalumpang telah menunjukkan komitmen dan semangat setiakawan yang tinggi membantu Dato Zaid Ibrahim, calon PKR bagi Parlimen Hulu Selangor.

Walaupun Dato Zaid Ibrahim tewas kepada calon BN dengan majority 1725 undi, Jentera Pilihanraya PAS Shah Alam berjaya menembusi kawasan Kalumpang yang terdiri dari beberapa kampung tradisi. Secara keseluruhan di Empat daerah mengundi yang diurus oleh Jentera PAS Shah Alam, undi untuk PKR telah meningkat sebanyak 300 undi.

Semangat juang yang tinggi akan dijadikan bekalan untuk menghadapi Pilihanraya ke 13 akan datang. SYABAS !!!
 
Gambar: Kelihatan sebahagian petugas bergambar setelah masa pengundian di Pusat Pengundian Kampung Gumut ditutup pada jam 5.00 petang