18 April 2010

Sembang Santai Saluran Maklumat

Program Sembang Santai yang dianjurkan Dewan Pemuda Pas Shah Alam (DPPSA) merupakan medium baru untuk masyarakat mendengar maklumat terkini dari pemimpin. Masyarakat juga berpeluang berdialog dan memberikan pandangan terhadap persoalan politik, isu semasa dan perkara-perkara berhubung dengan keperluan rakyat.

Untuk julung kali, DPPSA mengundang Ahli Parlimen Shah Alam Hj Khalid Samad di program yang diadakan di Restoran Sup Utara, Seksyen 18 Shah Alam pada jam 5.30 petang, Sabtu 17 April 2010. Sambil pengunjung menikmati hidangan petang, mereka berpeluang mendengar maklumat terkini. Antaranya isu yang berhubung dengan kepentingan masyarakat di Shah Alam sehinggalah kepada isu Pilihanraya P094 Hulu Selangor.

Mereka juga berpeluang memberikan pandangan, cadangan dan aduan untuk diambil perhatian oleh Ahli Parlimen Shah Alam. Kaedah ini dilihat sangat baik untuk rakyat bertemu dan berdialog terus dengan pemimpin yang mereka pilih.

08 April 2010

Umno sukar bertolak ansur dalam kes Apco, Zionis-Israel - Dato’ KJ

Posted by Zainulfaqar 

Aksi lunak Datuk Kamaruddin Jaafar memujuk rakyat Dewan MBSA Seksyen 17 Shah Alam supaya menolak proksi Zionis-Israel di Malaysia

TiNDAKAN segelintir Ahli Parlimen Umno/BN mempertahankan perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan firma perundingan antarabangsa Apco Worldwide menghairankan di samping mengetepikan pandangan rakyat, kata Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Baginya, rasa hairan tersebut timbul kerana kerajaan seolah-olah mengetepikan pandangan rakyat umum yang mengatakan Apco itu pro zionis-Israel.

“Ini yang paling menghairankan kita (di kalangan) Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (dan) rakyat umumnya (kerana) dalam kes Apco yang dikaitkan dengan zionis-Israel antarabangsa.

“(Kerajaan) tidak bertolak ansur dengan bukti-bukti yang didedahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, apatah lagi untuk tarik balik,” kata beliau dalam suatu ceramah politik di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Kewangan Negara (PAC) berkata, walhal kerajaan masih boleh bertolak-ansur dalam cadangan menarik semula subsidi minyak, isu royalti minyak di Kelantan dan Terengganu serta cadangan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebelum ini.

“Kerajaan boleh bertolak ansur dalam (dan) ditarik balik (tangguhkan) GST apabila kita (Ahli Parlimen Pakatan Rakyat) dan rakyat bantah, begitu juga dengan subsidi (minyak), tetapi isu Apco ini tidak.

“Begitu juga dalam tuntutan royalti minyak, walaupun kerajaan tetap menafikan hak kerajaan negeri untuk mendapatkan royalti, kerajaan tetap beri ‘wang ehsan’ walaupun kita (Pakatan Rakyat) tak iktiraf pemberian tersebut, supaya rakyat tidak anggap kerajaan mengetepikan tuntutan mereka,” ujarnya.

Bercakap pada pentas yang sama di Dewan MBSA Syeksyen 17, Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam berkata, rakyat perlu mengambil iktibar daripada kuasa rakyat dalam mengkritik secara terbuka ke atas cadangan kerajaan untuk melaksanakan GST, tarik subsidi minyak dan penafian hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan royalti minyak.

Tambahnya lagi, kerajaan sebenarnya sudah berana dalam keadaan paling lemah berdasarkan amalan ‘flip-flop’ dalam ketiga-tiga isu tersebut.

Sehubungan itu, rakyat, penyokong Pakatan Rakyat dan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat diajak terus berpadu dan menterjemahkan kritikan terhadap kerajaan dalam isu Apco tersebut dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor tidak lama lagi.

Turut menyertai Kamaruddin dan Khalid antaranya ialah Saifuddin Nasution Ismail (Ahli Parlimen Machang merangkap Setiausaha Agung PKR) dan Haji Azli Haji Yusof (Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam).

07 April 2010

Rakyat Dahaga Maklumat, GST Tidak Wajar


Ceramah Perdana berkenaan "GST Menindas Rakyat" anjuran PAS Shah Alam pada 6 April 2010 mendapat perhatian masyarakat setempat dengan kehadiran memenuhi setiap ruang Dewan MBSA Seksyen 17. Goods and Services Tax (GST) adalah merupakan satu bentuk cukai yang akan diperkenalkan oleh kerajaan mendapat bantahan dari pengamal politik, NGO dan orang ramai kerana ianya akan membebankan rakyat. Pelaksanaan GST juga akan memberikan mesej yang salah kerana ianya bukan cara terbaik untuk menambah pendapatan negara. Rata-rata masyarakat dahagakan maklumat tepat yang dapat menjelaskan kedudukan sebenar isu GST ini.  Pembentangan mengenainya di Parlimen ditangguhkan oleh kerajaan baru-baru ini setelah mendapat liputan bantahan meluas diseluruh negara.

Tiga orang Ahli Parlimen telah dijemput memberi penerangan lebih jelas tentang ketidakwajaran GST ini diperkenalkan. Mereka adalah YB Saifudin Nasution, YB Dato Kamaruddin Jaafar dan YB Khalid Samad. Kesemuanya sependapat bahawa pendapatan negara boleh ditingkatkan dengan mengurus perbelanjaan dengan lebih berhemah, mengawal pembaziran, mengurangkan ketirisan dan menghapuskan amalan rasuah dalam pemberian kontrak dan tender. Oleh itu memperkenalkan GST yang akan membebankan rakyat tidak wajar dilaksanakan dalam keadaan pengurusan perbendaharaan negara tidak dilaksana dengan bijak dan telus.

05 April 2010

Mesyuarat Agung PAS Shah Alam Bertekad Perkasa Parti dan Perkukuhkan Pakatan

Mesyuarat Agung PAS Shah Alam ke-23 pada 4 April 2010 berakhir dengan ketetapan untuk memperkasa parti dan memperkukuhkan Pakatan. Majlis yang diadakan di Dewan Kemajuan, Kompleks PKNS telah dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena.

Mesyuarat bermula dari jam 9 pagi dan berlanjutan sehingga jam 4 petang adalah di antara mesyuarat agung yang terpanjang pernah dianjurkan PAS Shah Alam dengan perbahasan hebat dari perwakilan yang mewakili cawangan parti seluruh Shah Alam.

02 April 2010

Pilihan raya kecil Hulu S'gor - 25 April ini

Suruhanjaya Pilihan Raya sebentar tadi mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor ditetapkan pada Ahad, 25 April.
Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 17 April.
Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat selama dua jam di pejabatnya di Putrajaya.
Katanya, SPR menerima pemakluman kekosongan kerusi Hulu Selangor pada 29 Mac oleh speaker Dewan Rakyat.
Writ pilihan raya akan dikeluarkan hari ini - 2 April dan notisnya pula akan dikeluarkan tiga hari selepas itu.
SPR juga mengumumkan pelatinkan pegawai daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan sebagai pegawai pengurus pilihan raya dan tujuh orang pembantunya.